Rabu, 28 Mac 2012

Program Khidmat Dalam Komuniti


        
        Pada bulan Julai 2011, kami mendapat tugasan projek PKU 3112 (Program Khidmat Dalam Komuniti). Program ini adalah merupakan salah satu daripada tugasan  yang terkandung dalam proforma bagi guru pelatih pengkhususan Major Pendidikan Khas, Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP) semester  enam Institut Pendidikan Guru. Mengikut tugasan tersebut, kami diminta untuk merancang aktiviti kemasyarakatan yang melibatkan warga OKU serta komuniti di PDK yang telah dipilih. Kumpulan saya yang terdiri daripada 9 orang ahli telah bersepakat untuk memilih PDK Nur Ehsan, Merlimau sebagai tempat kami menjalankan projek ini. Kami diberi masa lebih kurang sebulan yang bermula pada awal September sehingga awal Oktober bagi melaksanakan projek di PDK ini yang meliputi tiga aspek yang telah ditetapkan iaitu, kecerian, akademik dan juga ‘Home Based’. 



video



KEJOHANAN BALAPAN DAN PADANG PERINGKAT DAERAH BARU PAHAT 2012


        Pada 6 dan 7 Mac 2012, Kejohanan Sukan Padang dan Balapan Pendidikan Khas telah diadakan di Padang Sekolah Menengah Vokasional, Batu Pahat. Pada kali ni ana ditugaskan untuk bertugas sebagai penolong pelepas. Ana satu-satunya bunga dalam kalangan guru yang bertugas di padang untuk acara larian. suatu pengalaman yang baik dan ilmu yang ana telah belajar di institut dapat diaplikasikan dengan sebaik mungkin. Kecemerlangan pendidikan sentiasa menjadi agenda utama bagi Kementerian Pelajaran Malaysia. Tuntutan untuk menyediakan kesamarataan juga menjadi tanggung jawab dalam memastikan murid-murid istimewa di seluruh negara mencapai tahap yang cemerlang dalam semua program yang dilaksanakan. Kejohanan Padang dan Balapan dijalankan kerana aktiviti ko-kurikulum bukan sahaja merupakan satu landasan ke arah kecemerlangan kurikulum, bahkan juga memberi peluang kepada murid-murid istimewa yang terdiri daripada kepelbagaian kategori untuk mempertingkatkan potensi diri dan sahsiah murid sejajar dengan tuntutan         1 Murid 1 Sukan.
                                               
            Program ini bertujuan untuk mendedahkan murid kepada bidang sukan selaras dengan apa yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Khas.

            PPKI SK Peserai telah menghantar seramai 8 orang murid untuk menyertai pertandingan ini. Seorang peserta Perempuan Junior mendapat tempat pertama bagi acara 80 meter Down Syndrom.

Selasa, 27 Mac 2012

PRINSIP PEMBINAAN UJIAN


Menurut Stufflebeam (1971), penilaian adalah proses mengenalpasti, memperoleh dan menyediakan maklumat berguna bagi keputusan mempertimbangkan pilihan-pilihan yang ada pada kita. Penilaian menentukan jurang perbezaan antara “apa yang dihasilkan” dengan “apa yang dihasratkan” dari sesuatu program pendidikan. Secara ringkas, penilaian merupakan satu proses sistematik untuk menentukan sejauh mana objektif pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas dicapai.

Sebagaimana yang kita ketahui, ujian atau peperiksaan adalah satu aspek penting dalam sistem pendidikan kita. Berbagai bentuk ujian bertulis boleh diadakan oleh guru dari semasa ke semasa, seperti ujian betul/salah, mengisi tempat kosong, mamadankan, ujian beraneka pilihan dan juga bentuk esei.


Bagi melakukan penilaian, ujian yang berkesan dan bermutu perlu dibina dan dilaksanakan. Ini bermaksud, ujian tersebut dibina dengan mematuhi prinsip-prinsip pembinaan ujian iaitu kesahan, kebolehpercayaan, keobjektifan, kebolehtadbiran dan kebolehtafsiran. kami telah memilih prinsip kesahan dan kebolehpercayaan sebagai pertimbangan untuk membina Ujian Pertengahan Tahun Bahasa Melayu (Kefahaman) bagi tahun 5. Kedua-dua prinsip ini dijadikan sebagai panduan dan dipatuhi semaksima mungkin semasa membina set ujian ini.

1)    Kesahan
Kesahan sesuatu ujian merujuk kepada sejauh mana ujian berkenaan dapat mengumpul maklumat berkaitan bidang yang ditetapkan. Dengan perkataan lain, sesuatu ujian itu dikatakan sah, sekiranya ujian berkenaan boleh mengukur sesuatu yang sebenarnya hendak diukur atau sepatutnya diukur.

Menurut Youngman & Eggleston (1982) serta Sax & Newton (1997) kesahan bermaksud kebolehan ujian mengukur apa yang sepatutnya diukur. Kesahan merujuk kepada kesesuaian dan kekuatan interpretasi markah ujian dan lain-lain keputusan penilaian dengan merujuk kepada kegunaan tertentu alat ukur tersebut. Menurut Fraenkel & Wallen (1996) kesahan boleh dibuktikan melalui beberapa kaedah seperti kesahan isi (content validity), kesahan telahan (predictive validity), kesahan serentak (concurrent validity) dan kesahan gagasan (construct validity).

Kesahannya bergantung kepada beberapa jenis kesahan:
a) Kesahan isi (content validity)
Ini ialah kesahan yang terpenting bagi seseorang guru yang hendak menyediakan ujian. Isi ujian ditentukan dengan menilai apakah tujuan ujian itu diadakan, kandungan sukatan pelajaran, penekanan yang diberi kepada tajuk-tajuk dalam sukatan pelajaran serta peringkat atau kategori objektif pelajaran bagi tiap-tiap tajuk. Bagi sebarang ujian bertulis maka sangat penting bagi guru supaya sentiasa menyedari tujuan utama ujian itu. Kemudian guru hendaklah memilih atau menyediakan item ujian-ujian yang sesuai. Jenis-jenis item pula bergantung kepada jenis pencapaian murid-murid, aras kesukaran, dan peringkat objektif pelajaran yang hendak diuji.

Sepanjang proses menyediakan JSU dan membina soalan berdasarkan JSU yang telah disediakan, kami amat mementingkan aspek kesahan isi ini. Kami sedaya upaya menyediakan satu set soalan Bahasa Melayu Tahun 5 yang mengandungi 30 item soalan objektif yang meliputi semua tajuk dalam sukatan pelajaran Tahun 5. Sebelum membina item bagi soalan objektif ini, kami dikehendaki membina Jadual Spesifikasi Ujian (JSU). Kami telah memilih tiga bidang untuk diuji iaitu tatabahasa, membaca dan memahami serta peribahasa. Secara umumnya, dengan pemilihan ketiga-tiga bidang ini, kami telah merangkumkan semua kandungan pelajaran Bahasa Melayu Tahun 5 dalam pembinaan ujian. Hal ini penting dalam menjamin kesahan ujian yang dibina kerana item objektif ini digunakan untuk peperiksaan akhir tahun. Oleh itu, seharusnya murid Tahun 5 telah mempelajari kesemua topik dalam Bahasa Melayu Tahun 5.

Jika dilihat dari aspek aras soalan yang dipilih, kami lebih banyak membina soalan aras kefahaman berbanding aras-aras yang lain. Hal ini menggambarkan bahawa aktiviti serta pengajaran yang dilaksanakan di dalam kelas banyak menekankan aras kefahaman. Oleh yang demikian, terdapat 13 soalan kefahaman yang diuji dalam set soalan ini. Keadaan ini tidak bermakna kami tidak menguji aras-aras yang lain. Kami membina 4 soalan aras pengetahuan, 5 soalan aras aplikasi, 6 soalan aras analisis dan 2 soalan aras penilaian.

 Akan tetapi, kami menyedari bahawa pengalaman kami yang amat terhad dalam proses membina soalan mengehadkan kemampuan kami menyediakan set soalan objektif yang benar-benar berkualiti.

b) Kesahan telahan/ ramalan
Kesahan ramalan adalah berkait rapat dengan ujian meramal kebolehan atau kelayakan seseorang calon untuk menjalankan sesuatu tugas pada masa depan. Contohnya guru biasa mengadakan peperiksaan percubaan di peringkat sekolah sebelum murid-murid mengambil peperiksaan PMR, SPM, atau sebagainya. Berdasarkan pencapaian murid-murid ini maka kita dapat meramal kejayaan murid-murid dalam peperiksaan sebenar tersebut.

Dari aspek ini, kami tidak dapat mengukur tahap kesahan telahan/ramalan set soalan objektif yang kami sediakan. Kesahan ramalan ini dapat diukur apabila murid telah selesai menjawab soalan yang kami sediakan ini, kemudian, kami akan membina satu lagi set soalan objektif 30 soalan berdasarkan aras dan isi pelajaran yang sama. Dengan demikian, kami dapat membuat ramalan markah yang bakal diperoleh murid berdasarkan set soalan yang kami sediakan ini. Seharusnya, markah murid tidak akan jauh berbeza antara kedua-kedua set soalan.

Akan tetapi, sepanjang proses membina soalan, kami sentiasa merujuk kepada pensyarah dan bahan-bahan rujukan tambahan bagi memastikan set soalan yang kami bina benar-benar menguji tajuk yang terdapat dalam sukatan pelajaran Bahasa Melayu.

c) Kesahan Semasa/Serentak
Kesahan semasa penting bagi guru merujuk pencapaian seseorang dalam sesuatu ujian itu selaras dengan pencapaian kemudian dalam suatu ujian yang serupanya. Sekiranya ujian kedua yang sama taraf dengan ujian yang pertama ditakbirkan tidak lama kemudian, pencapaian calon biasanya lebih baik daripada ujian pertama, kerana calon yang berkenaan telah memperolehi sedikit sebanyak pengalaman daripada ujian yang pertama.

d) Kesahan Gagasan
Kesahan gagasan amat penting diadakan untuk mengukur sejauh mana seseorang itu menunjukkan trait personaliti, tingkah laku, atau trait mental, seperti sifat peramah, bertanggung jawab, adil, introvert, bermotivasi, kreatif, cergas otak dan sebagainya. Semua ini merupakan idea atau gagasan psikologi perlu dianalisa untuk mengenal pasti proses-proses atau ciri-ciri yang dikaitkan dengan sesuatu trait agar item-item ujian yang khusus dan tepat dapat disediakan. Berdasarkan teori atau kajian ini, kita boleh membuat berbagai-bagai ramalan yang ada hubungannya dengan gagasan tersebut. Misalnya kita boleh menelah bahawa seseorang murid yang kreatif juga merupakan seorang yang  imaginatif.

Meningkatkan Kesahan Dalam Ujian
a)            Cara yang baik untuk meningkatkan dan memastikan kesahan sesuatu ujian ialah dengan menyediakan blue print, atau rancangan persediaan yang dinamakan Jadual Spesifikasi Ujian (JSU). JSU ini dapat memastikan kesahan isi ujian yang akan disediakan. Di mana dalam JSU guru hendaklah menetapkan tajuk-tajuk yang hendak diuji, peringkat objektif mengikut Taksonomi Bloom atau Taksonomi yang seumpamanya, bilangan soalan bagi tiap-tiap satu objektif dan tajuk.
         Penentuan objektif pelajaran ataupun aras-aras kemahiran bergantung kepada mata pelajaran, tajuk-tajuk yang diuji serta peringkat kebolehan murid- murid yang menduduki ujian itu. Ini bermakna guru perlu meneliti dan memahami isi kandungan tiap-tiap tajuk dalam sukatan pelajaran. Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, kami telah membina satu JSU soalan peperiksaan mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 5 sebelum membina set soalan berdasarkan JSU tersebut.

b)             Cara yang ideal bagi meningkatkan kesahan ialah mencari korelasi di antara ujian yang diberi sebelum calon-calon itu melalui pengalaman yang berkenaan dengan perlakuan yang di dalam konteks kriteria pada akhir pengalaman itu. Kesahan ujian itu boleh diterima jikalau didapati calon yang tinggi markah dalam ujian itu mencapai prestasi yang dikehendaki di dalam kriteria itu, dan calon yang rendah markahnya tidak menunjukkan prestasi di dalam kriteria itu.

2)    Kebolehpercayaan
Salah satu daripada kriteria tersebut di atas ialah kebolehpercayaan (reliability). Menurut  Mokhtar (1995), kebolehpercayaan ujian boleh disebut sebagai darjah ketekalan antara dua  pengukuran terhadap sesuatu benda, sesuatu ciri, atau sifat seseorang. Persoalan asas kebolehpercayaan adalah: “Adalah penilai lain setuju dengan interpretasi tingkah laku pelajar?” Tetapi variasi yang mengganggu pula adalah: “Adakah saya menterjemah tingkah lakunya dalam keadaan yang sama jika saya melihatnya lagi?” ( Rowntree:1977 ). Aspek kebolehpercayaan bukan sahaja dibuktikan dengan pemberian skor yang sama oleh beberapa orang penilai, tetapi kita juga harus memberikan skor yang sama walaupun kita menilai pada masa yang berbeza.

Soalan yang dibina jika tidak mempunyai reliabilti atau mempunyai reliabiliti rendah tidak akan dapat menggambarkan pencapaian pelajar dan seterusnya akan menjadikan sistem penilaian yang sia-sia. Oleh itu para pendidik perlu berhati-hati dalam membina alat penilaian. Kebolehpercayaan sesuatu ujian merujuk kepada ketekalan, ketepatan dan kebolehbergantungan ujian berkenaan. Ini bermaksud sesuatu ujian yang boleh dipercayai akan menghasilkan maklumat yang tekal (merujuk kepada beberapa pentadbiran ujian yang telah dijalankan), tepat seperti yang sepatutnya serta boleh diterima pakai tanpa keraguan.

Kebiasaannya, sesuatu ukuran itu tidak lepas daripada ralat (error). Ini amat ketara dalam prestasi fizikal. Jauh lompatan seseorang misalnya, tidak sentiasa sama kerana pengaruh halaju angin kedaan fizikalnya, keadaan atau jenis kasut yang dipakai, latihan, larian atau sebagainya. Sedangkan berat seseorang pun boleh berubah dalam satu hari disebabkan oleh pakaiannya, kenyang laparnya dan lain-lain.

Kepentingan Kebolehpercayaan

Apabila kita menilai ataupun menguji murid-murid, kita akan menyoal diri kita sendiri adakah jawapan yang diberikan itu tidak berubah-ubah dan dapat mencerminkan kemahiran, kebolehan dan nilai pada murid itu. Jika benar maka ujian yang kita berikan itu bolehlah kita anggapkan sebagai stabil. Ujian yang stabil ialah ujian yang dapat memberikan markah yang sama apabila murid itu mengambil ujian itu beberapa kali di dalam satu jangka masa yang pendek. Bagi set soalan objektif Bahasa Melayu Tahun 5 yang kami sediakan ini, untuk menentukan sama ada ujian itu stabil atau tidak, kami boleh memberikan dua kali ujian kepada murid yang sama. Biarkan jarak di antara ujian pertama dengan yang kedua itu lebih kurang satu ataupun dua minggu. Jika markah bagi murid berkenaan dalam ujian pertama itu lebih kurang sama dengan markah yang diperolehi untuk ujian kedua, maka ujian itu bolehlah dianggap stabil ataupun boleh dipercayai.

Kebolehpercayaan ujian sangat penting oleh kerana kita tidak mahu markah yang diperolehi itu adalah disebabkan oleh nasib. Kita mahukan markah itu datangnya daripada kemampuan murid itu sendiri. Kebolehpercayaan adalah satu perkara yang senang dilihat di dalam ukuran seperti berat, panjang, tinggi dan lain-lain yang berbentuk maujud. Sesuatu ukuran panjang itu sudah tentu memberi bacaan yang sama jika barang yang sama diukur berulang kali. Begitu juga dengan sesuatu penimbang berat itu sudah tentu memberi bacaan yang sama apabila kita menimbang benda yang sama berulang kali. Bacaan yang berlainan akan menimbulkan syak wasangka kepada kita oleh kerana alat-alat sukatan itu tidak lagi stabil.

Bagi ujian ataupun penilaian yang kita sediakan, kebolehpercayaan adalah satu ciri yang patut kita pastikan sebagai dapat diterima. Jika tidak, penilaian yang kita lakukan itu tidak akan memberi peluang yang cukup kepada murid-murid membuktikan yang mereka mempunyai kemahiran, pengetahuan dan sikap yang dinilaikan itu. Satu peluang sahaja sudah tentu tidak mencukupi. Umpamanya kita mahu menguji sama ada murid itu dapat memahami penggunaan kata kerja, kita tidak hanya memberikan satu soalan sahaja. Kita akan mengemukakan beberapa soalan yang dapat menguji kemahiran yang sama. Jika murid itu dapat peluang menjawab sebilangan besar soalan-soalan itu, maka barulah kita berpuas hati dan menerima hasilnya sebagai mencerminkan keupayaan murid itu. Dengan kata lain, kebolehpercayaan pada ujian ini ialah untuk kita memastikan yang ujian atupun alat penilaian itu memberi peluang kepada murid mengemukakan jawapan yang mencerminkan keupayaannya dan bukanlah disebabkan oleh nasib.

Faktor-faktor Yang Mempengaruhi Kebolehpercayaan

Panjang pendek ujian itu boleh mempengaruhi keutuhan. Biasanya, semakin panjang ujian maka semakin tepat skornya kerana semakin kurang pergantungan kepada tekaan atau kebetulan. Bagi set soalan yang kami sediakan, kami menetapkan 30 soalan objektif yang perlu dijawab dalam masa 40 minit. Jangka masa yang kami tetapkan bagi menjawab set soalan ini bertepatan dengan taburan aras soalan yang kami pilih. Hampir 50% item yang kami bina terdiri daripada soalan aras kefahaman. Oleh itu, masa yang diperuntukkan sangat bersesuaian dengan soalan yang dikemukakan.
Demikian juga ujian yang bersifat objektif yang mempunyai keutuhan yang lebih tinggi kerana tidak terdedah kepada berbagai-bagai interpretasi. Ujian yang sah juga biasanya utuh, tetapi ujian yang utuh tidak semestinya sah. Skor yang konsisten tidak semestinya mengukur apa yang hendak diukur. Item-item ujian hanya merupakan sampel bagi bidang yang diuji. Variasi dalam sampel mungkin terdapat dalam dua ujian yang setara bentuknya. Hal ini merupakan satu lagi punca ralat. Dalam pada itu, kami juga memastikan bahawa jawapan yang kami sediakan bagi setiap soalan mempunyai panjang yang hampir sama. Dengan demikian, murid perlu membaca setiap jawapan yang diberi sebelum menjawab soalan. Aspek ini juga dapat menjamin kebolehpercayaan set soalan yang disediakan.    

Oleh kerana guru yang membina dan mentadbir ujian kepada murid-murid, maka perhubungan guru murid yang baik biasanya akan menambah keutuhan keputusannya. Keadaan fizikal dan mental yang positif, azam dan motivasi, galakan guru, kebiasaan dengan format ujian juga akan memberi kesan yang positif terhadap kebolehpercayaan.

Perbezaan skor mungkin timbul lantaran perbezaan cara ujian itu ditadbirkan. Untuk meningkatkan kebolehpercayaan, arahan-arahan mestilah tepat dan jelas. Murid-murid haruslah diberi masa yang cukup. Mereka mestilah diawasi dengan teliti semasa ujian. Kadang-kadang kebolehpercayaan ditentukan dengan cara uji-ulang (retest). Sebarang manfaat yang didapati oleh murid-murid daripada ujian pertama akan mengurangkan kebolehpercayaan. Contohnya dalam ulang uji murid-murid mungkin lebih biasa dengan format , atau lebih faham dengan item-item ujian. Oleh itu, mereka mendapat skor yang lebih tinggi. Hal ini menunjukkan betapa perlunya penjelasan yang sempurna sebelum ujian pertama dimulakan.

Keadaan persekitaran boleh mempengaruhi murid-murid dan skor mereka. Persekitaran yang sesuai, seperti kerusi meja yang selesa, ruang dan cahaya yang cukup, ventilasi yang baik, akan menambahkan kebolehpercayaan, manakala keadaan hingar-bingar, misalnya akan menganggu konsentrasi murid-murid dan menjejaskan kebolehpercayaan ujian.

Apabila sesuatu ujian itu bersifat subjektif, biasanya markah yang diberi untuk jawapan yang sama adalah berbeza mengikut pemeriksa, walaupun skim pemarkahan ada disediakan. Malahan, penilaian seseorang pemeriksa mungkin berubah mengikut masa dan keadaan. Perkara ini tidak berlaku dalam ujian objektif, kerana semua responnya adalah tepat. Mana-mana pemeriksa akan memberi markah yang sama untuk respon yang sama. Oleh itu, keobjektifan merupakan satu syarat bagi keutuhan.

Meningkatkan Kebolehpercayaan Dalam Ujian

Lazimnya, adalah sangat sukar bagi guru untuk membentuk satu ujian yang mempunyai ciri kebolehpercayaan yang tinggi. Ini adalah kerana pencapaian murid dalam situasi yang berlainan akan dipengaruhi oleh faktor-faktor berlainan seperti bilangan soalan, emosi dan kesihatan calon, keadaan persekitaran dan cara memeriksa. Oleh itu untuk meninggikan ciri kebolehpercayaan dalam sesuatu ujian, guru harus mengurangkan segala punca perubahan faktor-faktor tersebut.

Faktor pertama ialah keadaan tempat murid-murid itu mengambil ujian. Keadaan yang tidak selesa menyebabkan murid-muird tidak dapat menjawab seperti yang selalu ditunjukkan. Jika bilik itu bising dan panas umpamanya, murid tidak akan dapat menjawab soalan dengan sebaik-sebaiknya. Jika murid itu tidak sihat ketika mengambil ujian, maka jawapannya juga tidak sebaik yang dapat ditunjukkannya semasa dia di dalam keadaan sihat. Oleh itu, guru haruslah memastikan yang keadaan tempat murid itu semasa mengambil ujian adalah baik.

Faktor kedua ialah kejelasan yang terdapat pada arahan dan item-item ujian itu. Arahan dan item-item yang kurang jelas boleh menimbulkan interpretasi yang berlainan dariapada murid-murid. Oleh itu semasa menyediakan ujian ataupun penilaian, guru seharusnya memastikan yang arahan dan item-item, sama ada dalam bentuk kenyataan, gambar dan lain-lain lagi itu jelas.

Faktor ketiga berkait dengan panjangnya ujian ataupun penilaian itu. Ujian yang banyak itemnya itu selalunya lebih stabil oleh kerana guru berpeluang menyoalnya beberapa kali. Sebaliknya, ujian yang banyak item itu memakan masa yang panjang. Murid yang rendah umurnya sudah tentu tidak dapat memberi tumpuan yang dikehendaki. Kita sedia maklum bahawa tempoh masa yang dapat ditumpukan oleh murid terhadap sesuatu itu berbeza. Walau bagaimanapun, murid di peringkat sekolah rendah mempunyai tumpuan yang terhad. Mereka cepat jemu dan dengan itu tidak akan dapat menjawab soalan-soalan yang dikemukakan. Bagi mengelakkan perkara ini daripada berlaku, guru seharusnya menyediakan ujian yang tidak terlalu memakan masa yang panjang. Guru juga boleh memenggalkan ujian guru untuk diberikan beberapa kali.

Faktor keempat ialah, pemeriksaan dan pemarkahan. Ujian objektif tidak menimbulkan masalah. Tetapi ujian ataupun penilaian yang berkaitan dengan sikap, nilai dan juga amali sukar diperiksa dan diberikan markah secara objektif. Masalah ini sering berlaku di dalam ujian-ujian terbuka yang guru lakukan. Di dalam pemerhatian juga, guru dapati yang pemarkahan sukar diberi dengan tepat. Bagi mengelakkan perkara-perkara ini, guru harus menyediakan satu skim pemeriksaan dan pemarkahan yang jelas dan kita patuhi pada skim ini apabila membuat pemeriksaan dan pemarkahan.

Faktor kelima dalam meninggikan ciri kebolehpercayaan dalam sesuatu ujian ataupun penilaian ialah dengan memberikan bilangan soalan yang berpatutan. Biasanya semakin bertambah bilangan soalan, maka semakin tepat pencapaian murid itu kerana bilangan soalan ditambah akan dapat mengurangkan peluang untuk murid meneka.

Penutup

Isu kesahan dan kebolehpercayaan adalah amat penting dalam pembinaan sesuatu alat ukur sebelum boleh diguna pakai. Walaupun sesuatu alat ukur yang digunakan telah pernah dipakai oleh penyelidik terdahulu, dan telah teruji kebolehpercayaan dan keesahannya, namun alat ukur tersebut masih perlu diuji rintis semula kerana inferens yang diperolehi hanya sesuai untuk tujuan dan sampel kajian tertentu sahaja.


Sabtu, 24 Mac 2012

PENGGUNAAN KEMAHIRAN ASAS KAUNSELING UNTUK MENANGANI MASALAH MURID.


PENGENALAN

Guru bimbingan atau kaunselor yang ingin memberikan perkhidmatan kaunseling yang baik perlu menguasai serta mengaplikasikan beberapa kemahiran asas kaunseling. Kecekapan menguasai kemahiran-kemahiran ini sangat berguna ketika berhadapan dengan klien yang berada dalam ketidakseimbangan emosi dan psikologi. Antara kemahiran yang asas dalam membantu adalah kemahiran membina perhubungan, kemahiran menggalakkan klien bercakap, kemahiran membalas, kemahiran penstrukturan, kemahiran menyoal, kemahiran parafrasa, kemahiran mendengar, kemahiran memimpin secara langsung, kemahiran berkomunikasi, kemahiran melakukan dorongan minima, kemahiran membuat refleksi perasaan, kemahiran membuat interpretasi, kemahiran membuat klarifikasi, kemahiran meneroka, kemahiran pemfokusan, kemahiran mencabar,kemahiran berempati, kemahiran menghadapi kesenyapan, dan lain-lain lagi.

Kita perlu ingat bahawa tugas guru bukanlah untuk menyelesaikan masalah pelajar, tetapi membimbing dan membantu pelajar membina sikap serta kemahiran yang baik untuk mengatasi masalahnya.  Oleh itu, secara tidak langsung guru dapat membina satu hubungan yang baik dengan muridnya bagi menjelaskan satu kes yang telah dipilih kami telah memilih 5 kemahiran asas kaunseling bagi membantu murid tersebut dalam menghadapai masalahnya. Antara kemahiran-kemahiran asas bimbingan yang boleh digunakan ialah;

a)    Kemahiran Mendengar

Kemahiran mendengar merupakan satu kemahiran yang paling asas dan penting dalam sesi kaunseling. Dalam hal ini, kaunselor atau guru bimbingan perlu lebih banyak meluangkan masanya mendengar daripada menyampuk  percakapan klien (Faizal). Untuk benar-benar memahami apa yang telah diperkatakan oleh klien, kaunselor perlu memberikan tumpuan dan pemerhatian yang sepenuhnya untuk mendengar semua percakapan klien tersebut. Selain dari tutur kata, gerak geri klien semasa bercakap juga patut dilihat dan didengar sama. Dikatakan bahawa segala tingkah laku klien itu turut memainkan peranan yang penting dalam menyampaikan makna sesuatu pengucapannya itu. Merujuk kepada masalah yang dihadapai oleh Faizal yang berasal daripada keluarga yang agak miskin dan mempunyai taraf sosioekonomi yang rendah serta mempunyai adik beradik yang masih kecil lagi sebagai seorang guru, perlulah mempunyai sikap mendengar dengan teliti dan memberi penuh perhatian terhadap masalah yang telah disampaikan oleh murid kerana maklumat yang diberikan itu sedikit sebanyak dapat membantu guru mengenalpasti masalah dan seterusnya membentu murid tersebut.

b)    Kemahiran Berempati

Empati adalah proses untuk memahami emosi dan perasaan seseorang. Dengan adanya kemahiran berempati ini, kaunselor dikatakan berkeupayaan untuk memahami emosi dan dapat merasai apa jua yang dirasai oleh murid/ klien tersebut. Dengan ini, klien akan merasakan bahawa kaunselor itu memang seorang pendengar yang baik, memahami keadaannya serta mengambil berat tentang dirinya kerana kaunselor berupaya untuk memahami situasi sebenar yang dialaminya. Emosi seseorang tidak mudah difahami oleh pihak kedua. Jadi, untuk menguasai kemahiran ini terlebih dahulu, kaunselor perlu berupaya untuk membezakan antara emosi dan sikap.

Dalam isu yang dihadapi oleh Faizal, ayahnya perlu menampung perbelanjaan untuk membayar rumah sewa sebanyak RM250 setiap bulan, menyara isi rumah seramai 5 orang dengan adiknya yang berumur 2 tahun. Jadi, gaji ayahnya hanya cukup untuk membeli keperluan sahaja. Sebagai seorang kaunselor atau guru bimbingan yang baik, perlulah menunjukkan sikap empati yang sepatutnya ditunjukkan dan guru juga boleh membawa pengalaman perasaan kliennya kepada pengalaman perasaannya sendiri bagi memahami kliennya. ringkasnya, memahami diri klien memerlukan satu penilitian yang mendalam.

           

c)    Kemahiran Refleksi Isi

Refleksi isi ialah pernyataan semula oleh kaunselor mengenai idea yang disampaikan oleh klien. Idea ini dinyatakan semula oleh kaunselor dengan menggunakan perkataan yang ringkas, padat dan tepat. Menurut kes yang dihadapi oleh Faizal yang mempunyai banyak masalah disiplin dan juga masalah dalam akademik, sebagai seorang kaunselor perlulah mendengar segala isi yang telah disampaikan oleh klien dengan teliti kerana dengan refleksi isi yang tepat membolehkan klien berasa bahawa dia didengari dengan betul dan difahami. Akan tetapi terdapat perhatian yang harus diketahui oleh kaunselor tersebut. Contohnya jangan membuat refleksi isi yang terlalu panjang dan jangan menggunakan perkataan yang sama berulang-ulang kali kerana klien akan berasa bosan.

d)     Kemahiran Interpretasi

Kemahiran Interpretasi merupakan satu proses yangdigunakan oleh kaunselor untuk memberikan maklum balas atau “feedback” kepada klien supaya klien berupaya untuk melihat masalahnya dari satu sudut berbeza. Selain itu, interpretasi digunakan untuk merujuk dan membuat tafsiran untuk maksud tersirat dalam mesej klien. Oleh yang demikian, kaunselor perlu betul-betul menguasai kemahiran ini terlebih dahulu sebelum digunakan supaya ianya dapat dilakukan dengan lebih tepat dan betul. Ini adalah kerana sekiranya kaunselor membuat interpretasi yang salah, ia boleh menyebabkan gangguan dalam proses kaunseling yang sedang berjalan itu. Interpretasi akan dikatakan berjaya sekiranya ia boleh meransang pemahaman dan memberi fokus ke atas masalah klien.

Menurut kes yang dihadapi oleh Faizal gemar membuat kerja lain seperti bermain-main, menganggu rakan-rakannya dan membuat bising, tidak membuat tugasan yang diberikan oleh guru dan suka ke kafe cyber menghabiskan masa dengan melayari laman sosial “facebook” kaunselor tidak boleh terus membuat tafsiran yang negatif sebaliknya berusaha untuk mengetahui punca berlakunya masalah ini. Kaunselor juga perlu menggunakan kemahiran ini untuk menghuraikan kepada klien tentang apa yang telah diceritakan oleh klien dengan melihat peristiwa yang berlaku dari perspektif yang berlainan. Dalam kemahiran membuat interpretasi ini, kaunselor akan menambah kenyataan yang dibuat oleh klien, terutamanya setelah kaunselor dapat memahami perkara yang tersembunyi atau perasaan yang tersembunyi yang mana klien sendiri mungkin tidak menyedarinya secara sengaja atau tidak sengaja.Apabila klien memberikan maklumat kepada kaunselor mengenai masalah klien, tafsiran daripada kaunselor boleh menimbulkan celik akal klien.

e)    Kemahiran Menghadapi Kesenyapan

Kaunselor perlu bijak dalam mengendalikan kesenyapan semasa sesi kaunseling berjalan. Kaunselor perlu tahu masa yang sesuai untuk sama ada menggalakkan klien terus bercakap atau terus mengekalkan kesenyapan itu. Kesenyapan ini merupakan satu petanda yang baik kerana ia memberikan masa kepada kaunselor dan klien untuk memikirkan tindakan apa yang seharusnya diambil seterusnya.Selain itu, ia juga memberikan peluang kepada klien yang tidak sempat menghabiskan hujahnya tadi berfikir kembali dengan tenang mengenai hujahnya itu atau mengingat kembali sesuatu yang barangkali dia terlanjur mengatakannya atau mahu mengubah fikirannya.

Seperti masalah disiplin yang dilakukan oleh Faizal, seperti ponteng sekolah dan bertindak kasar terhadap guru, kaunselor tidak boleh terlalu terburu-buru untuk bertanya soalan atau  terburu-buru ingin mengetahui sebab berlakunya masalah kerana pada waktu ini kemahiran kesenyapan digunakan sebagai alternatif untuk mendapatkan maklumat yang lebih lanjut daripada murid tersebut. Dikhuatiri jika guru terburu-buru akan menyebabkan ketenangan emosi klien terganggu. Kaunselor juga perlu menghadapi sebarang keadaan dengan tenang dan jangan panik. Ini adalah penting untuk mengekalkan keyakinan klien terhadap kaunselor.

Di samping itu, memberi peluang kepada kaunselor untuk mendengar apa yang dikatakan oleh klien dengan lebih berkesan, dapat memerhatikan gerak geri klien dengan lebih teliti, menilai hubungan pemikiran, perasaan dan tindakan kliennya dengan lebih baik serta lain-lain lagi. Walaupun begitu, kaunselor haruslah mengelakkan kesenyapan yang terlalu panjang kerana ia akan menghentikan terus pokok cerita yang diperbincangkan tadi.
 

Copyright © 2008 Green Scrapbook Diary Modified by Simply City | Made free by Scrapbooking Software | Bloggerized by Ipiet Notez