Sabtu, 24 Mac 2012

PENGGUNAAN KEMAHIRAN ASAS KAUNSELING UNTUK MENANGANI MASALAH MURID.


PENGENALAN

Guru bimbingan atau kaunselor yang ingin memberikan perkhidmatan kaunseling yang baik perlu menguasai serta mengaplikasikan beberapa kemahiran asas kaunseling. Kecekapan menguasai kemahiran-kemahiran ini sangat berguna ketika berhadapan dengan klien yang berada dalam ketidakseimbangan emosi dan psikologi. Antara kemahiran yang asas dalam membantu adalah kemahiran membina perhubungan, kemahiran menggalakkan klien bercakap, kemahiran membalas, kemahiran penstrukturan, kemahiran menyoal, kemahiran parafrasa, kemahiran mendengar, kemahiran memimpin secara langsung, kemahiran berkomunikasi, kemahiran melakukan dorongan minima, kemahiran membuat refleksi perasaan, kemahiran membuat interpretasi, kemahiran membuat klarifikasi, kemahiran meneroka, kemahiran pemfokusan, kemahiran mencabar,kemahiran berempati, kemahiran menghadapi kesenyapan, dan lain-lain lagi.

Kita perlu ingat bahawa tugas guru bukanlah untuk menyelesaikan masalah pelajar, tetapi membimbing dan membantu pelajar membina sikap serta kemahiran yang baik untuk mengatasi masalahnya.  Oleh itu, secara tidak langsung guru dapat membina satu hubungan yang baik dengan muridnya bagi menjelaskan satu kes yang telah dipilih kami telah memilih 5 kemahiran asas kaunseling bagi membantu murid tersebut dalam menghadapai masalahnya. Antara kemahiran-kemahiran asas bimbingan yang boleh digunakan ialah;

a)    Kemahiran Mendengar

Kemahiran mendengar merupakan satu kemahiran yang paling asas dan penting dalam sesi kaunseling. Dalam hal ini, kaunselor atau guru bimbingan perlu lebih banyak meluangkan masanya mendengar daripada menyampuk  percakapan klien (Faizal). Untuk benar-benar memahami apa yang telah diperkatakan oleh klien, kaunselor perlu memberikan tumpuan dan pemerhatian yang sepenuhnya untuk mendengar semua percakapan klien tersebut. Selain dari tutur kata, gerak geri klien semasa bercakap juga patut dilihat dan didengar sama. Dikatakan bahawa segala tingkah laku klien itu turut memainkan peranan yang penting dalam menyampaikan makna sesuatu pengucapannya itu. Merujuk kepada masalah yang dihadapai oleh Faizal yang berasal daripada keluarga yang agak miskin dan mempunyai taraf sosioekonomi yang rendah serta mempunyai adik beradik yang masih kecil lagi sebagai seorang guru, perlulah mempunyai sikap mendengar dengan teliti dan memberi penuh perhatian terhadap masalah yang telah disampaikan oleh murid kerana maklumat yang diberikan itu sedikit sebanyak dapat membantu guru mengenalpasti masalah dan seterusnya membentu murid tersebut.

b)    Kemahiran Berempati

Empati adalah proses untuk memahami emosi dan perasaan seseorang. Dengan adanya kemahiran berempati ini, kaunselor dikatakan berkeupayaan untuk memahami emosi dan dapat merasai apa jua yang dirasai oleh murid/ klien tersebut. Dengan ini, klien akan merasakan bahawa kaunselor itu memang seorang pendengar yang baik, memahami keadaannya serta mengambil berat tentang dirinya kerana kaunselor berupaya untuk memahami situasi sebenar yang dialaminya. Emosi seseorang tidak mudah difahami oleh pihak kedua. Jadi, untuk menguasai kemahiran ini terlebih dahulu, kaunselor perlu berupaya untuk membezakan antara emosi dan sikap.

Dalam isu yang dihadapi oleh Faizal, ayahnya perlu menampung perbelanjaan untuk membayar rumah sewa sebanyak RM250 setiap bulan, menyara isi rumah seramai 5 orang dengan adiknya yang berumur 2 tahun. Jadi, gaji ayahnya hanya cukup untuk membeli keperluan sahaja. Sebagai seorang kaunselor atau guru bimbingan yang baik, perlulah menunjukkan sikap empati yang sepatutnya ditunjukkan dan guru juga boleh membawa pengalaman perasaan kliennya kepada pengalaman perasaannya sendiri bagi memahami kliennya. ringkasnya, memahami diri klien memerlukan satu penilitian yang mendalam.

           

c)    Kemahiran Refleksi Isi

Refleksi isi ialah pernyataan semula oleh kaunselor mengenai idea yang disampaikan oleh klien. Idea ini dinyatakan semula oleh kaunselor dengan menggunakan perkataan yang ringkas, padat dan tepat. Menurut kes yang dihadapi oleh Faizal yang mempunyai banyak masalah disiplin dan juga masalah dalam akademik, sebagai seorang kaunselor perlulah mendengar segala isi yang telah disampaikan oleh klien dengan teliti kerana dengan refleksi isi yang tepat membolehkan klien berasa bahawa dia didengari dengan betul dan difahami. Akan tetapi terdapat perhatian yang harus diketahui oleh kaunselor tersebut. Contohnya jangan membuat refleksi isi yang terlalu panjang dan jangan menggunakan perkataan yang sama berulang-ulang kali kerana klien akan berasa bosan.

d)     Kemahiran Interpretasi

Kemahiran Interpretasi merupakan satu proses yangdigunakan oleh kaunselor untuk memberikan maklum balas atau “feedback” kepada klien supaya klien berupaya untuk melihat masalahnya dari satu sudut berbeza. Selain itu, interpretasi digunakan untuk merujuk dan membuat tafsiran untuk maksud tersirat dalam mesej klien. Oleh yang demikian, kaunselor perlu betul-betul menguasai kemahiran ini terlebih dahulu sebelum digunakan supaya ianya dapat dilakukan dengan lebih tepat dan betul. Ini adalah kerana sekiranya kaunselor membuat interpretasi yang salah, ia boleh menyebabkan gangguan dalam proses kaunseling yang sedang berjalan itu. Interpretasi akan dikatakan berjaya sekiranya ia boleh meransang pemahaman dan memberi fokus ke atas masalah klien.

Menurut kes yang dihadapi oleh Faizal gemar membuat kerja lain seperti bermain-main, menganggu rakan-rakannya dan membuat bising, tidak membuat tugasan yang diberikan oleh guru dan suka ke kafe cyber menghabiskan masa dengan melayari laman sosial “facebook” kaunselor tidak boleh terus membuat tafsiran yang negatif sebaliknya berusaha untuk mengetahui punca berlakunya masalah ini. Kaunselor juga perlu menggunakan kemahiran ini untuk menghuraikan kepada klien tentang apa yang telah diceritakan oleh klien dengan melihat peristiwa yang berlaku dari perspektif yang berlainan. Dalam kemahiran membuat interpretasi ini, kaunselor akan menambah kenyataan yang dibuat oleh klien, terutamanya setelah kaunselor dapat memahami perkara yang tersembunyi atau perasaan yang tersembunyi yang mana klien sendiri mungkin tidak menyedarinya secara sengaja atau tidak sengaja.Apabila klien memberikan maklumat kepada kaunselor mengenai masalah klien, tafsiran daripada kaunselor boleh menimbulkan celik akal klien.

e)    Kemahiran Menghadapi Kesenyapan

Kaunselor perlu bijak dalam mengendalikan kesenyapan semasa sesi kaunseling berjalan. Kaunselor perlu tahu masa yang sesuai untuk sama ada menggalakkan klien terus bercakap atau terus mengekalkan kesenyapan itu. Kesenyapan ini merupakan satu petanda yang baik kerana ia memberikan masa kepada kaunselor dan klien untuk memikirkan tindakan apa yang seharusnya diambil seterusnya.Selain itu, ia juga memberikan peluang kepada klien yang tidak sempat menghabiskan hujahnya tadi berfikir kembali dengan tenang mengenai hujahnya itu atau mengingat kembali sesuatu yang barangkali dia terlanjur mengatakannya atau mahu mengubah fikirannya.

Seperti masalah disiplin yang dilakukan oleh Faizal, seperti ponteng sekolah dan bertindak kasar terhadap guru, kaunselor tidak boleh terlalu terburu-buru untuk bertanya soalan atau  terburu-buru ingin mengetahui sebab berlakunya masalah kerana pada waktu ini kemahiran kesenyapan digunakan sebagai alternatif untuk mendapatkan maklumat yang lebih lanjut daripada murid tersebut. Dikhuatiri jika guru terburu-buru akan menyebabkan ketenangan emosi klien terganggu. Kaunselor juga perlu menghadapi sebarang keadaan dengan tenang dan jangan panik. Ini adalah penting untuk mengekalkan keyakinan klien terhadap kaunselor.

Di samping itu, memberi peluang kepada kaunselor untuk mendengar apa yang dikatakan oleh klien dengan lebih berkesan, dapat memerhatikan gerak geri klien dengan lebih teliti, menilai hubungan pemikiran, perasaan dan tindakan kliennya dengan lebih baik serta lain-lain lagi. Walaupun begitu, kaunselor haruslah mengelakkan kesenyapan yang terlalu panjang kerana ia akan menghentikan terus pokok cerita yang diperbincangkan tadi.

2 ulasan:

Syahira Mansor on 21 Februari 2017 pada 2:03 PG berkata...

Assalamualaikum Cikgu.

Saya singgah & ambik info daripada cikgu, semoga bermanfaat. Terima kasih..

Unknown on 31 Mac 2021 pada 5:04 PG berkata...

saya mintak halal untuk saya guna sebagai rujukan ya

Catat Ulasan

Palestine Info
 

Copyright © 2008 Green Scrapbook Diary Modified by Simply City | Made free by Scrapbooking Software | Bloggerized by Ipiet Notez