Jumaat, 22 Mei 2009

Kisah Seorang Sahabat Raja



         Telah diriwayatkan bahawa ada seorang yang bijak berkawan dengan seorang raja. Dia suka memberi nasihat kepada raja itu manakala raja itu juga suka mendengar nasihat darinya. Pada suatu hari, orang yang bijak itu telah berpesan kepada raja tersebut lalu berkata, “Berbuat baiklah kepada orang yang berbuat baik kepadamu disebabkan kebaikannya itu. Walaupun ada yang berbuat jahat kepadamu maka sesungguhnya kejahatan yang dilakukan itu akan kembali kepadanya.”
Tanpa disedari oleh mereka, ada seorang yang telah iri hati dengan keakraban dan kemesraan orang bijak itu. Maka lelaki itu berusaha memburukkan orang bijak itu kepada raja. Pada suatu hari, lelaki itu telah mengadap raja tersebut dan berkata, “Sesungguhnya sahabat tuanku yang bijaksana itu sering berkata bahawa bau mulut tuanku sangat busuk.”Lalu raja itu bertanya, “ Buktikanlah kalau memang benar dia berkata begitu!” Lelaki itu menjawab, “Panggillah dia untuk mengadap tuanku. Sesungguhnya apabila dia berada dengan tuanku dia akan menutup menutup mulutnya dengan tangan.
Sekembalinya lelaki itu dari istana, dia telah mengundang orang bijak itu ke rumahnya. Kemudian dia menghidangkan makanan yang mengandungi bawang putih yang banyak. Tidak lama kemudian, orang bijak itu telah dipanggil oleh raja untuk mengadap. Apabila samapai di istana, raja menyuruh orang bijak itu mendekat. Ketika orang bijak itu berada dekat dengan raja, lalu dia meletakkan tangannya untuk menutup mulut kerana dikhuatiri raja tidak senang dengan bau bawang putih yang keluar dari mulutnya. Dengan tindakan tersebut, raja itu berasa sangat marah dan mempercayai kata-kata lelaki itu.
Kebiasannya, raja akan menulis surat sendiri jika dia ingin memberi hadiah kepada orang yang membawa surat itu. Disebabkan kejadian yang berlaku itu, raja telah menulis surat dengan tangan kepada pengawalnya. Isi dalam surat itu tertulis, “Apabila si pembawa surat ini datang kepadamu, maka bunuhla dia!”lalu raja itu mengecop surat tersebut dan menyerahkannya kepada orang bijak itu dan kemudiannya menyuruh orang bijak itu memberikannya kepada pengawal yang dimaksudkan.
Semasa orang bijak itu keluar dari istana, dia bertemu dengan lelaki tersebut lalu lelaki itu segera bertanya, “Apa yang tuanku lakukan kepadamu?” Lalu orang bijak itu menjawab, “Dia menulis sepucuk surat untukku dengan tangannya sendiri”. Lelaki itu berkata, “Saya kira surat itu berkenaan dengan hadiah kepada seseorang”. Dia kemudian berkata, “Berikan surat itu kepadaku”. Orang bijak itupun memberikan surat tersebut kepada lelaki itu dan kemudiannya masuk ke istana.
Raja berasa hairan melihat kedatangan orang bijak itu lalu bertanya, “Apa yang kamu lakukan terhadap suratku?” Orang bijak itu menjawab, “Di luar istana tadi, saya telah bertemu dengan seorang lelaki. Kemudian dia meminta surat itu lalu, saya memberikan surat itu kepadanya.” Raja itu bertanya lagi, “Adakah kamu sudah membaca isinya?” orang bijak itu menjawab, “Tidak sepatutnya saya membuka surat raja.” Raja berkata, “Sesungguhnya orang itu telah memberitahu saya bahawa bau mulut saya sangat busuk.” Lalu orang bijak itu menjawab, “Saya tidak pernah berkata seperti itu.” Sang raja lalu bertanya, “Kenapa tadi kamu meletakkan tanganmu di depan mulut?” Orang bijak itu menjawab, “Sebelum mengadap tuanku lelaki tersebut telah menghidangkan makanan yang mengandungi bawang putih yang sangat banyak sehingga saya khuatiri tuanku akan mencium baunya.” Raja kagum mendengar jawapan dari orang bijak itu dan berkata, “Sesungguhnya benar sekali apa yang kamu katakan kepadaku sebelum ini, akibat daripada kejahatan yang dilakukan seseorang akan menimpa dirinya sendiri.”

0 ulasan:

Catat Ulasan

Palestine Info
 

Copyright © 2008 Green Scrapbook Diary Modified by Simply City | Made free by Scrapbooking Software | Bloggerized by Ipiet Notez