Ahad, 4 April 2010

Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku


Bahagian A

1.0 Pengenalan

Secara umumnya, disiplin boleh didefinisikan sebagai latihan pemikiran dan kelakuan supaya boleh mengawal diri sendiri dan patuh kepada tatatertib. (Kamus Dewan edisi keempat, halaman 356). Selain itu, Chong Leon Keow pula menyatakan bahawa disiplin adalah pencegahan dan pemulihan atau secara keterangannnya adalah latihan yang dijangkakan menghasilkan watak yang khusus atau pada tingkah laku. Beliau juga menyatakan bahawa disiplin juga merupakan hukuman yang bertujuan membetulkan atau melatih seseorang murid.
Seterusnya dalam model pengurusan tingkah laku terdapat tiga perspektif utama yang ditekankan. Perspektif tersebut adalah:

i. Pengurusan bilik darjah sebagai satu disiplin
ii. Pengurusan bilik darjah sebagai satu sistem
iii. Pengurusan bilik darjah sebagi satu pengajaran
Ketiga-tiga perspektif ini adalah saling berkaitan dan amatlah ditekan dalam model-model pengurusan disiplin bilik darjah. Menurut ahli-ahli pendidik, terdapat lima model pengurusan disiplin bilik darjah yang boleh dijadikan rujukan kepada guru-guru sekolah. Model-model tersebut ialah:

i. Modifikasi Tingkah Laku
ii. Model Disiplin Asertif Canter
iii. Model Akibat Logikal Dreikurs
iv. Model Pengurusan Kelompok Kounin
v. Terapi Realiti Glasser

Secara ringkasnya model Modifikasi Tingkah Laku dipelopori oleh Skinner. Beliau mengutarakan model ini adalah berasaskan prinsip bahawa semua tingkah laku boleh dipelajari dan dikekalkan melalui pengukuhan. Pengukuhan ini boleh berbentuk positif atau negatif. Beliau juga menekankan pengukuhan kontingensi iaitu hubungan antara tingkah laku dan konsekuan yang membawa kepada kawalan tingkah laku secara berkesan.

Manakala model Disiplin Asertif Canter pula diutarakan oleh Lee dan Marlene Canter pada tahun 1976. Model ini menekankan bahawa gaya respon seseorang guru boleh bersifat asertif, tidak asertif serta agresif. Sifat asertif berlaku apabila guru memberi amaran dan menyatakan hukuman kepada murid jika melakukan sesuatu salah laku. Sifat tidak asertif pula meminta guru untuk memarahi dalam nada tegas dan meminta murid menghentikan perbuatan tersebut. Dan terakhirnya, bersifat agresif pula berlaku apabila guru bercakap nada yang paling tegas dan hampir melaksanakan hukuman kepada murid. Model ini lebih menunjukkan bahawa guru bersikap authoritarian dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Seterusnya adalah berkaitan dengan model Akibat Logikal Dreikurs atau dikenali juga sebagai Model Disiplin Sosial. Model ini telah diajukan oleh Dreikurs. Model ini menekankan empat prinsip asas iaitu manusia ingin dimiliki atau menjadi anggota sesuatu kelompok, semua tingkah laku adalah bersebab, manusia boleh membuat keputusan dan realiti dipersepsikan oleh manusia.

Bagi model Pengurusan Kelompok Kounin yang diutarakan oleh Jacob Kounin pula berasaskan konsep “kesan riak”. Konsep ini bermaksud bahawa apabila guru menegur seorang murid, murid yang lain turut berhenti daripada melakukan sesuatu salah laku. Antara teknik yang dicadangkan oleh beliau adalah seperti with-itness, bertindan-tindih, kelicinan, momentum, dan kepekaan kelompok.

Akhirnya adalah melibatkan Terapi Realiti Glasser yang dipelopori oleh Glasser pada tahun 1965. Model ini ditukar kepada teori kawalan dan kemudiannya kepada teori pilihan. Prinsip-prinsip yang ditekankan adalah dengan menyatakan bahawa setiap individu bertanggungjawab atas tingkah laku masing-masing serta berupaya untuk berubah dan hidup secara berkesan jika bimbingan dan sokongan diberikan. Selain itu, prinsip model ini juga mengkehendaki setiap individu bertingkah laku mengikut cara tertentu mengikut kehendak masing-masing.

2.0 Kajian Kes 

Encik Miller dan dua lagi guru Matematik yang lain telah menggunakan strategi pengajaran secara berkumpulan untuk mengajar subjek tersebut. Setiap hari selepas rehat, terdapat beberapa orang murid ke kelas Encik Miller dan yang selebihnya ke kelas rakan-rakannya. Encik Miller berasa kecewa dengan proses perjalanan menggunakan kaedah ini. Hal ini kerana beliau mendapati bahawa masa banyak dibazirkan semasa murid-murid bertukar kelas, menyusun dan bersiap sedia semula setiap kali pertukaran berlaku.kadang-kadang. Murid-murid yang tiba awal di kelas tersebut serta murid dari kelas lain yang melalui laluan tersebut mengganggu rakan-rakan mereka di dalam. Selain itu, didapati beberapa orang murid tidak membawa bahan yang hendak digunakan dalam proses pembelajaran. Semasa,Encik Miller mengajukan soalan penyelesaian masalah, kebanyakan daripada mereka hanya membuat bising atau melihat sekeliling. Dan apabila Encik Miller hendak memulakan pengajaran, beliau begitu sukar untuk meminta murid berhenti dan bersedia untuk proses pembelajaran. Maka, apakah yang boleh dilakukan oleh Encik Miller bagi memastikan pengarajaran berkumpulan ini berjalan dengan lancar dan teratur?
(Lampiran 4)


3.0 Masalah yang timbul.

Berdasarkan keadaan dalam kes di atas dapat dikesan bahawa terdapat beberapa masalah yang berlaku. Antara masalah-masalah yang dapat dilihat dalam kes ini adalah:
i. pembaziran masa,
ii. keadaan pelajar yang terpaksa bersiap sedia dan menyusun semula minda mereka,
iii. ketidakseragaman penukaran kelas,
iv. gangguan dari murid yang terlibat dan tidak terlibat dengan pembelajaran ini,
v. tidak mengendahkan soalan guru,
vi. sikap murid yang tidak membawa bahan pembelajaran dan
vii. sering berbual serta
viii. kesukaran guru untuk mengawal kelas.

4.0 Cara mengatasi dengan mengaplikasikan model pengurusan disiplin untuk penyelesaiannya.

Berpandukan senarai masalah yang dinyatakan di atas, terdapat beberapa kaedah atau strategi yang boleh digunakan untuk mengatasi masalah tersebut. Bagi masalah yang melibatkan pembaziran masa, kaedah yang boleh digunakan adalah dengan mengaplikasikan model Disiplin Asertif Canter. Model ini juga boleh diaplikasikan bagi masalah kesukaran guru untuk mengawal kelas. Strategi yang boleh digunakan oleh Encik Miller adalah dengan mengamalkan sikap asertif pada peringkat permulaan. Pada kali pertama memulakan kelas tersebut, Encik Miller perlu menyatakan terlebih dahulu peraturan-peraturan yang dikehendaki olehnya. Encik Miller juga perlu mengingatkan rakan-rakannya yang lain untuk menyatakan peraturan bahawa setiap murid perlu menepati masa. Cara yang terbaik adalah dengan menamatkan lima minit lebih awal.perkara ini akan memudahkan murid untuk bergerak dan bersiap sedia untuk kelas yang seterusnya. Hal ini secara tidak langsung dapat membantu Encik Miller mengawal kelas. Naturalnya, kanak-kanak akan mudah mengingati perkara pertama yang berlaku ke atas dirinya. Maka, ketegasan amat diperlukan semasa kali pertama memasuki kelas. 

Manakala bagi masalah ketidakseragaman penukaran kelas pula diselesaikan dengan melaksanakan teknik yang terdapat dalam model Pengurusan Kelompok Kounin. Teknik-teknik yang wajar digunakan adalah teknik kelicinan, momentum dan kepekaan kelompok. Teknik kelicinan dan momentum diaplikasi sewaktu proses penukaran berlaku. Encik Miller perlu memastikan murid berada dalam keadaan selesa sebelum atau setelah bertukar kelas. Murid pula dinasihati dapat meningkatkan momentum pergerakan mereka. Manakala kepekaan kelompok diperlihatkan apabila Encik Miller peka terhadap masa untuk menamatkan sesi pengajaran dan pembelajaran. Bagi memastikan teknik ini lebih berkesan, disarankan bahawa Encik Miller menyelaraskan jam di setiap kelas yang terlibat dan menggunakan jam loceng. Jam itu akan berbunyi lima minit sebelum masa sebenar tamat dan guru perlu menamatkan sesi pengajarannya. 

Seterusnya, masalah yang berkaitan dengan keadaan pelajar terpaksa bersiap sedia dan menyusun semula minda mereka, gangguan dari murid dan rakan sebaya mereka serta tidak mengendahkan pertanyaan guru dapat dicegah melalui model Akibat Logikal Dreikurs. Berdasarkan prinsip ini, perubahan tingkah laku terdorong dalam seseorang individu dengan bimbingan daripada individu lain. Maka, model sesuai diaplikasikan kerana salah laku itu perlu diubah dan seterusnya dikekalkan. Encik Miller boleh membantu murid untuk mengubah tingkah laku tersebut. Antaranya dengan memberi kesedaran dan menasihati setiap tingkah laku negatif mereka. Jika, strategi ini tidak berjaya dilaksanakan, maka kaedah atau strategi dari model-model lain boleh diaplikasikan. Misalnya menggunakan langkah yang telah dinyatakan dalam Terapi Realiti Glasser. Dalam model ini, Encik Miller perlu meningkatkan cara pertanyaannya. Sebagai contoh, “Apa yang kamu lakukan?” adalah lebih berkesan daripada” Mengapa kamu lakukan perbuatan itu?”

Manakala bagi masalah yang berikutnya iaitu sikap murid yang tidak membawa bahan pembelajaran dan sering berbual boleh diperbaiki dengan menggunakan kaedah yang sama seperti di atas. Namun, strategi yang disarankan adalah dengan melaksanakan model Modifikasi Tingkah Laku. Encik Miller boleh mengaplikasikan strategi ini bagi masalah di atas juga. Model ini berasaskan prinsip pengukuhan. Encik Miller perlu memberi ganjaran kepada murid yang membawa bahan pembelajaran dan peneguh negatif apabila kesalahan dilakukan. Bagi murid yang tidak membawa bahan pembelajaran atau berborak semasa guru mengajar, kaedah time-out boleh digunakan. Encik Miller meminta murid untuk berada di belakang atau pun hadapan kelas apabila melakukan sesuatu kesalahan walaupun setelah beberapa ditegur dan diberi amaran.

Selain daripada cadangan penyelesaian yang telah dinyatakan, Encik Miller juga boleh mengaplikasikan terus model Terapi Realiti Glasser. Seperti mana yang telah dinyatakan di atas, dalam terapi ini ada 10 langkah yang disarankan. Berikut merupakan langkah yang boleh diikuti oleh Encik Miller:
i. Mengenal pasti punca berlakunya masalah tersebut
ii. Memilih Strategi yang sesuai digunakan
iii. Mengatasi masalah melalui dua cara iaitu memberi latihan yang menarik dan relevan serta membina hubungan positif dengan murid
iv. Meningkatkan cara penyoalan
v. Membuat perbincangan dengan murid
vi. Meminta murid membuat pelan tindakan yang positif sambil dipantau oleh guru
vii. Menggunakan kaedah time-out yang masih berada dalam kelas
viii. Menghantar murid ke lokasi yang lain tetapi selesa dengan dipantau aleh guru yang ditugaskan
ix. Menghubungi ibu bapa
x. Merujuk kepada pihak berkuasa
Perlaksanaan terapi ini perlulah dilaksanakan mengikut kesesuaian murid tersebut.

BAHAGIAN B

5.0 Pengenalan

Mengikut Kamus Dewan (2005) pengurusan bermaksud mengurus sesuatu atau perihal mengurus. Ini membawa pengertian yang lebih luas kearah mengendalikan sesuatu agar lebih teratur dan tersusun. Dalam konteks pendidikan, pengurusan bilik darjah yang baik boleh menjurus kepada situasi yang lebih baik dan berprosedur sempurna untuk mencapai objektif-objektif aktiviti yang lebih berkesan dan bermakna. Pengurusan bilik darjah ialah suatu aspek yang penting dalam melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

Keadaan fizikal bilik darjah seperti susun atur kerusi meja pelajar, jadual waktu mata pelajaran dan tugasan, peraturan kelas, kemudahan asas, pencahayaan dan sebagainya seharusnya menggalakkan proses pembelajaran dan pengajaran dalam bilik darjah. Jadi sebagai seorang guru, perlu tahu cara menyusun tempat duduk pelajar dan peralatan bilik darjah, mengurus pergerakan pelajar di dalam kelas dan mengawal disiplin pelajar di dalam kelas supaya pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan lancar.

Susunan fizikal di dalam kelas boleh memberi sumbangan dari segi kawalan, perhubungan guru dengan murid dan sesama murid di dalam kelas malah mewujudkan keseronokan bekerja bersama-sama untuk mencapai sesuatu visi. Ini sangat sesuai sepertimana menurut Marland (1975), suasana fizikal di dalam bilik darjah mungkin merupakan kawan atau musuh dalam pengajaran. Menurut Savage (1999), menyusun atur persekitaran fizikal bukan sahaja akan mempengaruhi tingkah laku murid malah ia juga boleh mempengaruhi sikap murid dan menyumbang kepada
prestasi akademik murid.

6.0 Pengurusan Bilik Darjah

Pengurusan bilik darjah pula didefinisikan sebagai tindakan dan strategi yang
digunakan untuk mengekalkan peraturan bilik darjah. Pengurusan bilik darjah adalah
satu kemahiran yang amat penting dan perlu dikembangkan oleh guru-guru bagi
membolehkan guru mengurus pembelajaran dengan lebih berkesan. Pengurusan bilik
darjah pada umumnya bertujuan mewujudkan keadaan, suasana, dan persekitaran
pembelajaran yang kondusif.

Menurut Lemlech (1988), mengibaratkan pengurusan bilik darjah sebagai okestra dalam kehidupan di bilik darjah yang memerlukan pembentukan kurikulum, penyelenggaraan, prosedur dan sumber pengajaran. Ia juga menekankan tenteng pentingnya penyusunan suasana bilik darjah bagi meningkatkan keberkesanan, pemantauan perkembangan pelajar serta tanggungjawab guru dalam memikirkan masalah-masalah yang mungkin akan timbul.

Manakala, pendapat Levin dan Nolan (2004) pula, mereka memberi tumpuan aspek keberkesanan dalam pengurusan bilik darjah itu sendiri. Mereka berpendapat bahawa kedua-dua aspek arahan dan pengurusan merupakan proses yang mempunyai tujuan di mana tindakan serta sikap guru itu bertindak untuk memudahkan objektif yang ingin dicapai oleh guru itu sendiri dalam pengajaran dan pembelajaran.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Palestine Info
 

Copyright © 2008 Green Scrapbook Diary Modified by Simply City | Made free by Scrapbooking Software | Bloggerized by Ipiet Notez