Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam kepada junjungan besar nabi Allah, Muhammad SAW. Alhamdulillah, syukur kehadrat Ilahi dengan limpah dan kurnia-Nya selesai sudah Program Bina Insan Guru Siri Ke-7 fasa 2 bagi guru-guru pelatih ambilan Julai 2009. Program ini telah dijadualkan diadakan selama tiga hari iaitu pada 19 Oktober 2010 sehingga 21 Oktober 2010 bersamaan hari Selasa sehingga hari Khamis. Program ini telah dijalankan di Kem Sebaling, Sebatu, Sungai Rambai, Melaka. Dalam fasa 2 ini, lebih kurang 80 orang guru pelatih telah mengambil bahagian dan sekurang-kurangnya 10 orang pensyarah pembimbing dan pembantu turut ikut serta.
Rumah keluarga angkat di Sungai Rambai. |
Segala perancangan telah dijalankan dengan rapi dan teliti supaya program ini dapat berjalan dengan lancar. Perlantikan dan pemilihan untuk jawatankuasa induk dan ahli jawatankuasa telah dilakukan secara demokrasi. Tugas-tugas telah diagihkan mengikut unit masing-masing supaya dapat meringankan dan memberi pengalaman untuk menguruskan sesuatu program. Begitu juga situasi semasa berada di sekolah nanti. Dalam sesuatu organisasi, setiap orang guru diamanahkan dengan jawatan dan tugas-tugas tertentu bagi melicinkan lagi pengurusan sekolah. Hal ini dapat memberikan gambaran awal kepada para guru pelatih untuk menguruskan sesuatu program.
Saya amat berpuas hati dengan pucuk pimpinan yang dipegang oleh pengerusi Program Bina Insan Guru pada kali ini. Beliau bukan sahaja seorang yang amat teliti tetapi juga sangat mengambil berat tentang ahli-ahli dibawah beliau. Sikap sebeginilah yang perlu dicontohi kerana semasa di sekolah nanti kita akan hidup dalam satu keluarga. Sikap hormat-menghormati dan saling bertolak ansur amatlah diharapkan oleh semua pihak bagi memastikan program atau sesuatu rencana yang dijalankan dapat berjalan dengan lancar.
perjalanan ke rumah keluarga angkat. |
‘Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’ yang ditunjukkan setiap unit amat memberangsangkan. Walaupun setiap unit memegang dua atau tiga tugas dalam satu masa dan dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan yang kecil, namun setiap tugasan itu dapat dilakukan bersama-sama dan melibatkan semua ahli unit tersebut. Hanya sebilangan kecil sahaja yang bersikap pentingkan diri sendiri tetapi itu tidak mematahkan semangat berpasukan dalam kalangan kami. Insya-Allah pepatah ‘Kerana nila setitik rosak susu sebelanga’ tidak akan tercapai sekiranya segala kelemahan itu ada kesedaran dan seterusnya berusaha untuk memperbaiki kesulitan itu.
Sepanjang berada di Kem Sebaling, banyak pengalaman dan ilmu yang baru saya belajar di sana. Walaupun ini bukan merupakan kali pertama saya dan rakan yang lain berada di sana, namun keadaan sekelilingnya sudah berubah sedikit berbanding dengan kali pertama pergi ke sana. Pada kali ini juga terdapat masalah dari segi sumber air. Walaubagaimanapun, sebagai seorang guru kelak apabila dihantar ke pedalaman, bukan setakat masalah air sahaja, malah banyak lagi masalah yang kita perlu hadapi dari semasa ke semasa. Oleh itu, sebagai guru kita perlulah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi cabaran ini supaya kita dapat menanganinya dengan penuh kesabaran.
Dalam pada itu juga, saya juga melihat sebilangan kecil daripada kalangan guru pelatih tidak memberikan komitmen yang secukupnya semasa menjalankan tugas mereka. Mereka menyerahkan tugas dan tanggungjawab yang sepatutnya mereka lakukan kepada ketua mereka. Sebagai seorang guru, perkara sebegini tidak sepatutnya terjadi. Kita janganlah terlalu bergantung harap kepada orang lain kerana semasa berada di sekolah, kita akan sentiasa berhadapan dengan situasi di mana kita akan sentiasa dibebani dengan pelbagai tugas di dalam bilik darjah mahupun di luar bilik darjah. Jika kita tidak berdikari dan belajar dari sekarang, agak sukar untuk kita melaksanakannya suatu hari nanti.
Melalui slot Sepetang Bersama Masyarakat Setempat dapat memberi pendedahan kepada kami bagaimana untuk berkomunikasi dengan masyarakat, yang mempunyai pelbagai latar belakang dan berlainan pendapatan. Masyarakat setempat ini terdiri daripada peringkat umur. Begitu juga anak-anak murid kita nanti. Tidak semua berasal dari keluarga yang senang, ada juga yang ibu bapanya berpendapatan rendah. Dari sini kita akan dapat menyelami kehidupan mereka supaya sikap pilih kasih dan istilah ‘anak emas’ tidak menjadi isu. Setiap murid mempunyai kelebihan dan kekurangannya. Sebagai guru, hargailah insan-insan ini dan pimpinlah mereka agar dapat menempa kecemerlangan dalam hidup.
Semasa berada di rumah nenek angkat yang lebih dikenali sebagai ‘Tok’ perasaan agak tersentuh apabila melihat kemesraan yang ditunjukkan oleh beliau. Beliau amat rindukan kasih sayang dan perhatian anak-anak yang jauh diperantauan. Walaupun ada juga anak-anak yang tinggal berhampiran tetapi kasih rindu seorang ibu itu tidak dapat dihalang. Beliau turut berkongsi pengalaman suka dan duka beliau, jadi peranan saya dan ahli yang lain ialah menjadi seorang pendengar yang baik. Situasi ini mungkin juga kita akan lalui, apabila murid-murid yang menghadapi masalah dalam pelajaran ataupun masalah keluarga kita perlu prihatin dengan masalah mereka dan cuba jadi seorang pendengar yang baik supaya mereka dapat rasakan mereka ada tempat untuk berkongsi masalah. Dengan cara ini, secara tidak langsung dapat meringankan tekanan yang dihadapi oleh mereka.
Saya tidak menjangkan program ini lebih awal walaupun tanda-tanda sudah kelihatan. Namun, kita manusia hanya dapat merancang, Tuhan yang menentukan segala-galanya. Setiap yang berlaku ada hikmah yang tersembunyi. Cuaca yang tidak mengizinkan yang dapat membahayakan kesihatan semua yang terlibat. Tindakan yang diambil oleh pihak atasan adalah tepat kerana ingin mengelakkan sesuatu yang buruk berlaku. Dikhuatiri ‘Sudah terhantuk baru terngadah’, jika hal ini berlaku semuanya sudah terlambat dan tidak boleh diundur kembali. Tindakan yang segera perlu diambil bagi mengelakkan musibah itu terjadi.
Masak asam pedas untuk makan tengahari. |
Setiap kelemahan itu boleh dibaiki sekiranya seseorang itu sedar akan kesalahannya. Sesungguhnya manusia itu tidak sempurna tetapi kita boleh mencapai kesempurnaan itu sedikit demi sedikit dengan memperbaiki kelemahan kita. Kita perlu sedar setiap perkara yang kita lakukan tidak semestinya betul. Jadi, peranan sebagai seorang sahabat itu perlulah menegur sahabatnya itu dengan cara berhikmah. Jadi, sahabat itu perlulah menerima teguran itu dengan hati terbuka, kerana teguran itu bukan untuk menjatuhkan air muka atau menyalahkannya tetapi untuk mereka mengubah diri mereka kearah yang lebih baik.
Dalam perkara yang telah disebutkan diatas, saya mencadangkan supaya setiap orang perlulah mempunyai kesedaran diri sendiri terhadap tugas masing-masing. Hal ini bukan sahaja merugikan diri sendiri tetapi juga melibatkan skop yang lebih besar dan ramai. Berfikiran lebih terbuka dan dapat menerima pendapat orang lain adalah mereka seorang yang berjaya.
Di samping itu juga, semasa aktiviti Kembara Sosial, masa perlu dipanjangkan kerana waktu yang telah ditetapkan oleh pihak pengurusan terlalu singkat. Memandangkan, kami pergi ke rumah keluarga angkat bukan semata-mata tetapi kami pergi dengan membawa tugasan yang perlu disiapkan pada hari yang sama. Hal ini menyebabkan kami tidak mempunyai masa yang secukupnya untuk bersama keluarga angkat.
Secara keseluruhannya, pengalaman Program Bina Insan Guru pada kali ini memberikan seribu kenangan kepada saya dan memberi ilmu yang cukup berharga di samping
Bergambar bersama keluarga angkat. |
dapat menyelami hati seorang ibu tua. Melalui program ini juga, saya dapat berinteraksi dengan masyarakat setempat dengan lebih dekat lagi. Inilah sebenarnya yang perlu ada pada seseorang guru, kehidupan guru bukan hanya dalam sekitar sekolah tetapi dalam kaca mata masyarakat. Jadi, peliharalah akhlak dan kesantunan budi bahasa selaras dan semulia dengan profesyen seorang guru itu sendiri.
0 ulasan:
Catat Ulasan