1.0 PENDAHULUAN
Turki Muda pada asalnya adalah merupakan pergerakan rahsia yang ditubuhkan pada tahun 1865M dengan tujuan menghapuskan pemerintahan beraja mutlak kepada pemeritahan berperlembagaan(Mohamad Shaukhi, 2004: 129-130). Turki Muda salah satu kumpulan yang berperanan dan berpengaruh dalam proses pembaharuan. Kumpulan yang berorientasikan intelektual ini telah mengambil pendekatan yang agak liberal iaitu mengadaptasikan kemajuan Barat ke dalam ajaran Islam bagi perkara yang dibenarkan oleh syariat(Mohamad Shaukhi, 2004: xvii).
Mereka memperjuangkan sistem kerajaan berperlembagaan yang dilihat menjadi faktor utama kemajuan Barat. Kumpulan ini diketuai oleh Ibrahim Sinasi, Ziya Pasya, dan Namik Kemal. Namun demikian, kumpulan ini juga tidak bersetuju dengan pengambilan sepenuhnya idea-idea Barat dalam membangunkan kerajaan. Bagi mereka konsep demokrasi dan perlembagaan boleh disamakan dengan konsep Syura dan Bai'ah(Mohamad Shaukhi, 2004: 105).
Pada 1906 satu jawatankuasa kebebasan Uthmaniah telah dibentuk secara sulit oleh pihak Turki Muda, salah seorang pengasasnya ialah Talat Bey. Pada 1907, cawangan Turki Muda di Salonika telah bergabung dengan cawangan di Paris dan sejak itu pergerakan ini dinamakan Ittihad wa teraki (CUP: Committee of Union and Progress) dengan tujuan untuk merebut kuasa daripada Abdul Hamid dan memulihkan sistem berpelembagaan.
Selepas 1908M, parti ini memenangi pilihanraya dan seterusnya memimpin daulah Uthmaniah di bawah sistem parlimen. Kejayaan Turki Muda pada tahun 1908M adalah hasil usaha kerjasama di antara pemimpin tentera, golongan elit dan generasi muda yang berpendidikan. Turki Muda bertangunggjawab melaksanakan reformasi dalam pendidikan dan ekonomi termasuk memansuhkan sistem capitulations. Ideologi seperti Islamisme, Westernisation dan Nasionalisme mendapat reaksi dari seluruh negara. Oleh itu daulah Uthmaniah memasuki era modenisasi politik(Ermy Azziaty, 2002: 94).
Pada tahun 1909M, sultan Abdul Hamid 11 disingkirkan dari pemerintahannya oleh Majlis Berkuasa Uthmaniah hasil dari desakan Parti Kebangsaan Turki Muda. Beliau diganti oleh Muhammad Rashad hingga 1918M, namun pemerintahan sebenar dikuasai oleh Turki Muda(Mohd Ibrisam, 2002: 24).
Bermula pada tahun 1913M corak pemerintahan daulah Uthmaniah mula berubah dari demokrasi kepada pemerintahan diktator tentera sehingga 1918M. golongan Turki Muda yang memerintah Uthmaniah telah melaksanakan reformasi Barat keatas Turki. Contohnya dalam bidang sosial cara hidup barat mula diserap masuk ke daulah Uthmaniah(Mohd Ibrisam, 2002: 24).
2.0 PERANAN TURKI MUDA
Pembaharuan C.U.P
Kerajaan baru C.U.P memperkenalkan rancangan yang terdapat di dalam semangat Tanzimat lama. Pendidikan di peringkat menengah dan tinggi dikendalikan dalam bahasa Turki. Pendidikan sekular diperluaskan sehingga merangkumi semua peringkat. Wanita juga menerima pendidikan tinggi, walaupun dijalankan secara berasingan(Mohammad Redzuan, 1991: 129).
Dua orang pejuang kebebasan wanita yang terkenal adalah Ziya Golkalp dan Halide Edip (adivar). Adip (1883-1964). Pada mulanya dididik oleh sheikh Turki dan kemudian gabenor wanita Inggeris. Beliau menamatkan pendidikan sekolah menengah di kolej Amerika. Kemasyhurannya sebagai seorang novelis dan pejuang kebebasan wanita mencapai kemuncaknya pada 1909. Setelah bercerai dengan suaminya yang pertama, Edip menyertai pertubuhan perapian (hearth) Turki yang juga disertai oleh Gorkalp dan terus merupakan penyokong C.U.P sepanjang perang dunia pertama. Golkalp meperjuang hak wanita di bawah nama Islam dan masyarakat Turki kuno dan menentang poligami kerana menganggapnya sebagai tidak nasionalisme Turki(Mohammad Redzuan, 1991: 129).
Pembukaan sekolah menengah kerajaan pada tahun 1911 dan kemunculan wanita di khalayak ramai tanpa purdah menggalakkan wanita menuntut persamaan hak. Satu undang-undang baru pada tahun 1916 memberi hak kepada wanita untuk bercerai dalam kes-kes zina, tidak menepati kontrak perkahwinan atau si suami berhasrat untuk berkahwin lagi. Pembaharuan itu memberi manfaat kepada wanita yang tinggal di bandar. Wanita di luar bandar tidak pun menyedari perubahan itu atau mereka tidak berupaya mencabar kaum lelaki(Mohammad Redzuan, 1991: 129).
Selain itu, hutang negara Turki menurun dan tinggal cuma sebanyak 106 juta Lira yang mana sebelum ini hutang negara adalah sebanyak 2.5 billion wang Lira.
Turki muda memperkenalkan pengangkutan dan kemudahan-kemudahan awam yang lain. penyertaan orang bukan Islam dalam angkatan tentera bermula dan kerajaan berusaha menyingkirkan perbezaan kaum. Pemerintahan tentera dikekalkan di Istanbul . Pemodenan ketenteraan diteruskan. Walaupun dengan perancangan yang baik namun tidak ada apa-apa yang dibuat untuk mengubah perhubungan asas ekonomi dalam empayar itu. Satu pemberontakan kaum Kurdi yang baru meletus pada tahun 1910. Musyawarah kebangsaan yang turut melibatkan mereka yang menuntut lebih banyak kuasa autonomi terpecah akibat kemunculan gangguan tempatan(Mohammad Redzuan, 1991: 129).
Menurut profesor Kemal H. Karpat secara umumnya pemikiran yang menjadi landasan utama perjuangan pergerakan Turki Muda ini terbahagi kepada tiga aspek utama.
Pertama peripentingnya penubuhan peraturan perlembagaan dan institusi perwakilan bagi mewujudkan pembahagian kuasa dalam institusi pemerintahan. Malah kedua-dua aspek tersebut adalah dituntut dalam Islam yang bersamaan dengan konsep syura. Landasan intelektual adalah diperlukan untuk memperbetulkan kelemahan perlaksanaan tanzimat yang mencetuskan pertentangan kebudayaan hasil daripada salah faham terhadap asas falsafah, etika dan sosial. Semuanya terjadi apabila pengambilan tanpa batasan idea-idea Barat untuk diadaptasikan dalam sistem kebudayaan Uthmaniah. Kritikan juga diutarakan kepada kuasa mutlak sultan dan para pentadbir melalui proses pemusatan kuasa yang dilihat mengancam sistem kebudayaan kerajaan Uthmaniah(Mohamad Shaukhi, 2004:130-131).
Ibrahim Sinasi menggunakan kerjayanya sebagai jurnalis bagi menyedarkan rakyat, kebolehannya sebagai penyair juga berjaya menyebarkan kesedaran dikalangan masyarakat tentang kelemahan pentadbiran kerajaan Uthmaniah. Di dalam tulisannya Sinasi banyak mengungkapkan perkataan-perkataan baru yang bertujuan menanam benih nasionalisme dan libralisme dikalangan rakyat. Istilah yang selalu digunakan ialah hak warganegara, kebebasan bersuara, pandangan umum, idea yang liberal, kesedaran kebangsaan, kerajaan berperlembagaan, kebebasan dan kemerdekaan, hak rakyat dan sebagainya(Mohamad Shaukhi, 2004: 131).
Aspek pemikiran yang kedua Turki Muda berlegar mengenai kumpulan sosial masyarakat Uthmaniah, para ayan dan kekayaan pemimpin masyarakat. Ziya Pasha begitu memahami permasalahan yang dihadapi oleh masyarakat luar bandar berkaitan penyelewengan hak perdagangan dan pemilikan tanah. Ziya berpandangan bahawa sistem tanzimat sebenarnya telah mengekalkan imuniti para derebey dan ayan. Tindakan mereka juga dikatakan lebih kejam daripada pemimpin wilayah terdahulu. Hal yang sedemikian telah mengakibatkan ketidakstabilan sosial, politik dan ekonomi yang berlanjutan ini telah membangkitkan kemarahan dikalangan rakyat. Sistem ekonomi Eropah ( capitulazation ) juga telah meluaskan penguasaaan para kapitalis Barat hak ekonomi dan sosial masyarakat Uthmaniah. Penghapusan sistem industri tradisional hampir mengakibatkan kepupusan industri tempatan yang sangat diperlukan oleh rakyat(Mohamad Shaukhi, 2004: 132).
Aspek ketiga membentuk kebudayaan politik dan pentadbiran sebuah negara moden Uthmaniah disetiap aspek perubahan. Tujuan utamanya adalah untuk mewujudkan identiti baru terhadap rakyat dan kesetiaan kepada pemerintah. Konsep baru vatan (tanah air) diperkenalkan mengatasi batasan agama, etnik dan wilayah. Konsep millet (asalnya bermaksud komuniti Islam) telah dimansuhkan. Pengenalan perkhidmatan umum tentera telah menjadi medium utama bagi penyebaran budaya politik baru ini. Hasilnya semangat kesetiaan dan identiti ini akan menjadi perkara utama dalam setiap jiwa rakyat. Konsep hurriat (kebebasan) dan vatan ini juga tersebar luas melalui puisi dan sajak yang ditulis oleh Namik Kemal keseluruh negara. Islam Bey, seorang tokoh Turki Muda melihat bahawa konsep vatan adalah sebagai asas perlindungan terhadap hak dan kehidupan rakyat(Mohamad Shaukhi, 2004: 133-134).
Golongan Turki Muda memperjuangkan desentralisasi dan pemberian hak istimewa kepada minoriti agama dan menperjuangkan nasionalis. Golongan ini telah membentuk Committee of Union Progress (CUP) sebagai alat untuk mendapatkan kuasa politik. Tujuan penubuhan CUP untuk mengembalikan semula perlembagaan 1876M yang digantung oleh sultan Abdul Hamid. Mereka ingin memaksa sultan Abdul Hamid dan membentuk satu pemerintahan yang baru(Mohd Ibrisam, 2002: 22).
Golongan Turki Muda yang menggunakan slogan " Turks for turks" telah menyemarakkan lagi semangat rakyat. Kebanyakan daripada pembesar menganggap golongan ini sebagai satu tindakan biasa menentang pemerintahan sultan Abdul Hamid seperti angkatan sebelumnya. L. Stoddard berpendapat bahawa kemunculan gerakan ini adalah untuk menbentuk negara Turki yang terdiri daripada pelbagai adat dan keturunan dan menjadikan satu kesatuan bangsa yang dikenali sebagai bangsa Turki(Mohd Ibrisam, 2002: 23).
3.0 KESIMPULAN
Negara Turki telah menerima banyak perubahan rentetan dari gerakan Turki Muda yang berjaya memperjuangkan sistem khalifah berperlembagaan. Kemunculan C.U.P semasa pemerintahan sultan Abdul Hamid 11 telah menandakan berakhirnya empayar Uthmaniah.
0 ulasan:
Catat Ulasan