Sabtu, 20 Februari 2010

Murid dan Alam Belajar


PENGENALAN
            Pengajaran merupakan aktiviti yang berkaitan dengan penyebaran ilmu pengetahuan yang meliputi aktiviti perancangan, pengelolaan, penyampaian, bimbingan dan penilaian. Secara ringkas, pengajaran merupakan proses untuk menyampai dan menyumbang idea-idea serta memudah cara pembinaan ilmu, menentukan standard dan menggalakkan kreativiti, membantu seseorang murid untuk belajar dan mencabar murid ke arah pencapaian potensi optimum. 
 Manakala, pembelajaran adalah perubahan tingkah laku. Ramai ahli psikologi menyatakan pembelajaran adalah proses, melalui latihan atau pengalamanorganisma, dan menghasilkan perubahan tingkah laku yang agak kekal. Pembelajaran merupakan perubahan ke atas individu hasil daripada pengalaman dan manusia mula belajar sejak lahir dan semua pembelajaran ini berkaitan dengan pengalaman. Pembelajaran tidak terhad kepada sekolah sahaja tetapi pembelajaran berlaku dalam banyak keadaan iaitu formal dan tidak formal. Pembelajaran berlaku melalui pelbagai cara sengaja atau tidak sengaja.
 KONSEP SUASANA PEMBELAJARAN YANG KONDUSIF DALAM BILIK DARJAH
            Suasana bilik darjah yang harmoni dapat membantu meningkatkan kualiti proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih bermakna. Guru memainkan peranan penting dalam membentuk suasana dan budaya bilik darjah yang baik. Gaya kepimpinan yang berwibawa seperti mengurangkan arahan untuk pelaksanaan tugas kepada murid-murid dalam bilik darjah boleh dianggap sebagai kepimpinan berasaskan demokratik. Selain dapat merapatkan jurang komunikasi antara guru dan murid, hubungan mesra dan semangat bekerjasma di kalangan pelajar boleh diwujudkan. 
            Berbeza dengan kepimpinan berasaskan ‘Laiissez-faire’ yang memberi arahan-arahan yang tidak jelas dan jawapan-jawapan yang ringkas tentang sesuatu persoalan yang ditimbulkan atau yang telah sedia ada.Pendekatan yang hendak digunakan bagi mengawal suasana dalam bilik darjah perlu berlandaskan tahap perkembangan murid.
 Persekitaran dan Aplikasi Bilik Darjah
              Suasana bilik darjah yang baik biasanya dikaitkan dengan penglibatan dan penghayatan pelajar bersama guru dalam bilik darjah tersebut. Guru yang memiliki gaya kepimpinan yang matang akan lebih bersedia menerima dan menghormati setiap murid dalam pengawasannya di samping menekankan terhadap perubahan ke arah yang lebih baik. Apabila keadaan ini berlaku guru sebagai pendidik dapat menyesuaikan diri dengan pelbagai situasi dan pertumbuhan kendiri para murid serta bersikap keterbukaan dalam perkara-perkara yang boleh membawa ke arah kebaikan. Pengurusan bilik darjah akan menjadi bertambah baik jika sistem penyeliaan diuruskan dengan berkesan. 
            Secara umumnya, pengurusan bilik darjah sebaik-baiknya merangkumi ciri-ciri yang bersesuaian dengan proses pembelajaran pelajar seperti persediaan suasana pembelajaran yang berkesan atau penubuhan organisasi pengajaran yang dapat membantu meningkatkan aktiviti-aktiviti perkembangan pembelajaran secara lebih aktif dan produktif. 
            Penggunaan teknik motivasi dan penyelesaian konflik juga boleh menampakkan keberkesanannya. Oleh itu, peranan dan pengorbanan guru mengubah suasana bilik darjah yang kurang menyerlah kepada suasana yang lebih kondusif dapat dilihat sebagai jambatan utama proses pembelajaran yang memberangsangkan ke arah pembentukan modal insan.
Konsep Bilik Darjah
              Dalam sebuah sekolah, bilik darjah merupakan tempat yang terpenting dalam membentuk sahsiah dan pengetahuan pelajar. Bilik darjah merupakan tempat yang paling sesuai untuk penyampaian pengajaran dan pembelajaran. Bilik darjah yang mempunyai suasana yang tenteram dan selesa serta ditambah dengan pelbagai bahan pengajaran atau bahan bantu mengajar akan memberi kesan yang mendalam kepada penerimaan murid terhadap pengajaran guru. Menurut Kamarudin Husin (2004:352), konsep bilik darjah sebenarnya telah wujud sejak sekian lama. Namun demikian konsep tersebut berubah-ubah mengikut perkembangan pendidikan dari semasa ke semasa. 
  Pada zaman dahulu, pembelajaran dilakukan di bawah pokok dengan bilangan pelajar yang kecil sekitar lima hingga enam orang, dan ini boleh dianggap sebagai satu bilik darjah. Begitu juga dengan surau atau pondok yang menjadi tempat kanak-kanak Melayu mengaji al-Quran daripada imam juga tergolong sebagai bilik darjah. Oleh itu, boleh dikatakan di mana sahaja tempat sesuatu ilmu itu disampaikan tempat tersebut boleh dianggap sebagai bilik darjah.
            Konsep bilik darjah pada hari ini biasanya ditafsirkan mengikut fungsi pendidikan atau ciri penyusunan fizikal. Oleh itu, tempat seperti sebuah bilik atau ruang yang mengandungi sekumpluan pelajar di bawah pengawasan seorang guru, sebuah padang yang digunakan untuk pendidikan jasmani, sekumpulan pelajar yang sedang menjalankan uji kaji dalam sebuah makmal sains serta pendidikan yang diadakan di pusat sumber boleh digolongkan di bawah konsep bilik darjah.Secara asasnya dalam konteks hari ini, bilik darjah akan dilengkapi dengan kemudahan seperti kerusi dan meja pelajar yang disusun mengikut aktiviti pengajaran dan pembelajaran, papan tulis dan alat bantu mengajar serta yang paling utama ialah sejumlah pelajar yang berada dalam lingkungan umur yang sama di bawah jagaan seorang guru. 
            Bilik darjah merupakan satu organisasi yang sangat mudah yang terdiri daripada guru dan sekumpulan pelajar yang mempunyai matlamat dan harapan yang sama. Persekitaran bilik darjah penting dalam situasi pembelajaran pelajar. Hal ini boleh mengalakkan atau menghalang sesuatu aktiviti pembelajaran. Menurut Sharifah Alwiah Alsagoff (1986:44), persekitaran fizikal bilik darjah yang baik akan dapat meningkatkan kuasa serta sumber pengajaran guru. Beliau juga menekankan tentang pengurusan dan penyusunan bilik darjah yang menyentuh cara guru menyusun, mengorganisasi dan menggunakan perkara-perkara yang berkaitan, menyusun tempat duduk pelajar serta penyusunan perabot dan alat bantu mengajar. 
            Secara keseluruhannya, semua perkara tersebut perlu diatur dengan sempurna untuk mewujudkan persekitaran yang sesuai untuk pembelajaran.Bilik darjah sebagai tempat berlakunya proses pengajaran dan pembelajaran, merupakan tempat yang terpenting di sekolah. Bilik darjah juga merupakan medan perjuangan utama kerjaya seorang guru. Pengurusan bilik darjah dinamik ke arah pembinaan modal insan yang menjurus kepada pembinaan jasmani, emosi, rohani dan intelek memerlukan pelbagai pengetahuan, kemahiran, prosedur, teknik dan strategi. Guru seharusnya memiliki gaya kepimpinan, kemahiran merancang, kecekapan mengurus, kepelbagaian dalam pengajaran dan pembelajaran, kebijaksanaan interpersonal, kemahiran berkomunikasi, kemahiran kaunseling dan mampu mengendalikan teknologi maklumat dan komunikasi.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Palestine Info
 

Copyright © 2008 Green Scrapbook Diary Modified by Simply City | Made free by Scrapbooking Software | Bloggerized by Ipiet Notez